Tuesday, December 19, 2017

Profesor Ahmad Ibrahim Permata Perundangan Islam Malaysia



Assalamualaikum WarahmatULLAHi WabarakatUh

Pujian-pujian bagi Allah Pentadbir sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW Penghulu kita dan ke atas keluarga Baginda dan para sahabatnya.  Waba’du,

Daripada sekalian ramai tokoh alim ulama’, fuqaha dan solehin yang berjasa terhadap pembangunan dan perkembangan Islam di gugusan rumpunan Nusantara Melayu kita, saya ingin memperkenalkan dan mengangkat kembali sorotan salah seorang tokoh negara kita yang amat terkenal dengan jasa dan sumbangannya yang besar khususnya dalam perundangan Islam di Malaysia. Beliau yang saya maksudkan ialah Al-Marhum Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad bin Mohamed Ibrahim.


Beliau merupakan antara tokoh yang paling banyak berjasa dalam pembangunan dan perkembangan perundangan Islam di Malaysia. Menulis tentang al Marhum Profesor Ahmad Ibrahim adalah seperti mengukir papan sejarah dengan pahat emas. Ketinggian keperibadian dan sumbangan beliau yang luas biasa membatasi sebarang bentuk penulisan perundangan Islam di Malaysia daripada menidakkan penglibatan tokoh besar ini.

Pertama kali saya mendengar nama beliau ialah sewaktu mencari bahan untuk ‘assignment’ GPML lebih kurang 4 tahun lalu. Setelah kemudiannya pada tahun ini saya diamanahkan untuk menulis tentang beliau dari sudut pandang sumbangannya dalam perkembangan Undang-Undang Syariah di Malaysia atau lebih tepatnya bertajuk, “The Contributions Of Ahmad Ibrahim On The Development Of Islamic Law In Malaysia”. Ianya adalah merupakan penulisan ilmiah tahun akhir dibawah seliaan pensyarah saya Prof Madya Dr. Zulkifli Hasan, Dekan Fakulti Syariah & Undang-Undang (2017). Beliau salah seorang pelajar Profesor  Ahmad Ibrahim di AIKOL, IIUM.


Saya tidak memanjangkan disini dengan menyatakan riwayat hidup beliau, sumbangannya, dan lain-lain yang sudahpun begitu banyak sekali telah ditulis daripada sekian ramai para rakan dan murid-murid Profesor Ahmad Ibrahim. Penulisan-penulisan berkenaan Profesor Ahmad Ibrahim telah dipersembahkan dalam pelbagai bentuk seperti buku, jurnal, artikel dan kertas kerja.  Namun saya akan senaraikan antara rujukan yang baik yang menghidangkan maklumat berkenaan Profesor Ahmad Ibrahim. Alangkah baiknya jika pembaca sudi memerhati dan menghayati latar belakang serta perjuangan sosok agung ini. Sungguh, ianya berbaloi dengan pengajaran, nilai moral dan kebaikan yang kita dapat belajar dengan mengenali beliau.


Setelah menyiapkan penulisan tersebut, saya berkesempatan ke makam beliau yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Kg. Sungai Pusu. Tanah perkuburan ini berhampiran dengan UIAM Gombak. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya, membalas segala jasa dan kebaikan yang beliau curahkan serta menempatkan beliau bersama orang-orang soleh. AL-FATIHAH !





Berikut adalah slides yang saya bentangkan kepada sv saya bagi penulisan ilmiah tahun akhir. Mudah-mudahan ada manfaatnya untuk mereka yang berhajat kepadanya. 



































Terima kasih para pembaca. Saya akan lanjutkan lagi ruangan tulisan ini pada masa akan datang tentang Profesor Ahmad Ibrahim. Semoga ALLAH merahmati beliau dan merahmati kita semua.

Thursday, June 1, 2017

Lanjutan Kajian : Tuan Minal al-Fathoni , Permatang Sg Dua



Assalamualaikum WarahmatULLAHi WabarakatUh.

Sebagaimana yang telah dinyatakan pada posting sebelum ini , Tuan Minal atau nama sebenar beliau al-Alim al-‘Allamah Syeikh Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani telah wafat di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Pulau Pinang. Maklumat ini saya terima melalui pembacaan daripada tulisan Allahyarham Syeikh Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam salah sebuah karyanya. Saya cuba pula merujuk kepada tulisan Tuan Ahmad Fathi, namun belum menjumpainya menulisnya demikian. Syeikh Zainal Abidin atau Tuan Minal sememangnya sangatlah terkenal dalam dunia nusantara Melayu kita sebagai salah seorang pejuang dan ulama’ yang berasal daripada negeri Fathani Dar Salam. Antara kitabnya yang terkenal ialah Aqidatun Najin dan Kasyful Lithsam itu sangat berpengaruh dalam aliran pengajian turath. Buktinya, hampir tidak ada pondok-pondok atau pasentren yang mengajar kitab turath tidak memperkenalkan kitab tersebut kepada para pelajarnya.


Telaga Tuan Minal al-Fathani

Tapak pondok Tuan Minal menurut riwayat setempat terletak disekitar sebelah jalan utama di sebelah kiri jika datang dari Sg Dua, menuju ke Kepala Batas melalui jalan lurus Permatang Sg Dua. Di situ sekarang ini terdirinya sebuah kedai runcit / kedai mee dan berhadapan kedai itulah adanya sebuah telaga lama yang menurut riwayat yang kuat daripada penduduk setempat , ianya telaga Tuan Minal. Di sekitar telaga itu semuanya adalah bekas tapak pondok Tuan Minal pada zaman beliau. Juga menurut En Abdus Samad atau nama lainnya En Abdul Hamid bin Hj Syihabuddin, telaga itu tak pernah kering walau Permatang Sg Dua kering ketiadaan air pada waktu-waktu tertentu. Beliau ialah cucu kepada Tuan Syeikh Abdus Somad bin Abdul Malek Kelumbung , seorang ulama’ berketurunan Fathani yang membuka pondok di Permatang Sg Dua, InsyaALLAH tentang beliau selebihnya akan diperhalusi pada perkongsian yang lain.



 Telaga Tuan Minal al-Fathani





Di samping itu, jika hendak dilanjutkan lagi tentang telaga Tuan Minal, ada juga pendapat seterusnya mengatakan telaga Tuan Minal ada satu lagi dan letaknya di kawasan rumah bersebelahan dengan Masjid Tuan Samad , Permatang Sg Dua. Pada sekitar bulan April 2017, saya berziarah semula ke masjid tersebut dan telaga yang dikatakan telaga Tuan Minal sudah tak dapat dilihat lagi daripada dalam kawasan masjid kerana penambahbaikkan infrastruktur masjid di kawasan itu. Walaubagaimana pun, tidak ada sumber yang kuat untuk mengesahkan kedudukan telaga Tuan Minal yang ke-2 ini iaitu di sebelah pagar masjid, berbanding dengan telaga yang satu lagi yang disebutkan di atas tadi bahawa yang rajihnya itulah telaga Tuan Minal Zainal Abidin al-Fathani, berdiri di atas bekas tapak pondok beliau suatu masa dahulu.

TELAGA TUAN SAMAD

Jika diperhatikan, jumlah kesemua telaga yang terdapat di sekitar Permatang Sungai Dua, termasuklah di Kg Setol sebanyak 7 buah. Pertamanya telaga Tuan Minal di hadapan kedai runcit seberang jalan. Kedua, telaga bersebelahan Masjid Tuan Samad yang terdapat 2 buah telaga di situ. Keempat, telaga Tok Ayah Hj Syihabuddin bin Tuan Samad Abdul Malek di hadapan kediaman beliau dan yang kelima, telaga Hj Salleh di hadapan kediaman beliau yang bercat merah dan mempunyai seni bina ukiran yang seakan sama dengan ukiran corak kediaman Tuan Abdul Aziz, cicit Tuan Minal al-Fathani. Rumah yang terletak dalam kawasan Kg. Setol itu kini didiami oleh cucu saudara Hj Salleh, iaitu En Azmi, berumur sekitar 50-an (tahun 2017). Seterusnya, telaga Tuan Samad yang terdapat dalam kawasan masjid. Yang terakhir, sebuah lagi telaga yang tidak diketahui siapa pemiliknya.

KEDIAMAN TN HJ ABDUL AZIZ BIN HJ AHMAD

KEDIAMAN ASAL HJ SALLEH

TELAGA HJ SALLEH YANG SUDAH TAK DIGUNAKAN LAGI


Tanah Perkuburan Islam Masjid Tuan Samad

Selain makam Tuan Minal yang tidak dapat disah tentukan kedudukan sebenarnya di tanah perkuburan yang luas tersebut, terdapat juga beberapa makam lain yang signifikan iaitu salah satunya adalah makam Tuan Abdus Somad Abdul Malek dan makam salah seorang qadhi Pulau Pinang. Saya kurang jelas berkenaan makam qadhi tersebut akan namanya dan belum lagi mula mencari makam beliau. Hanya menerima maklumat daripada Ustaz Mat Zain, salah seorang penduduk lama Kg Permatang Sg Dua pada petang selepas solat Zohor di masjid tersebut. Kediaman beliau terletak bersebelahan dengan rumah Hj Abdul Aziz bin Hj Ahmad berhadapan dengan jalan utama Permatang Sg Dua. Daripada beliaulah banyak maklumat diperoleh berkenaan sejarah lama Masjid Tuan Samad dan tanah perkuburan tersebut dan gambar lama masjid sekitar tahun 80-an yang berikut diperoleh daripada beliau, yang kini digantung dalam ruangan solat masjid.  

MAKAM TUAN SAMAD AL-FATHANI


Penutup

Beberapa perkara penting berkait dengan asal usul Tuan Minal insyaAllah akan diketengahkan pada perkongsian yang lain. Persoalan utama antaranya perkaitan di antara Tuan Minal dengan Tuan Samad dan asal usul Tuan Samad itu sendiri serta salasilahnya dan anak cucunya yang bertebaran dalam tanah air kita menjadi tokoh agamawan yang berjaya dan berjasa. Saya tidak berhajat untuk memanjangkan atau memulakan sedikit coretan tentang Syeikh Zainal Abidin atau Tuan Minal al-Fathani dengan memperkenalkan tokoh ini dengan biografinya atau keperibadiannya, tetapi perkongsian ini hanyalah untuk menambah sedikit sebanyak maklumat yang sudah sedia ada dalam buku-buku atau penulisan sejarah berdasarkan kepada kajian saya yang tidak seberapa ini. Adapun biografi Tuan Minal, para pembaca yang dikasihi sekalian bolehlah merujuk kepada penulisan lain yang amat baik seperti karya Allahyarham Syeikh Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah.


Sekian sahaja dahulu, saya amatlah berharap sekiranya ada maklumat penting dapat dikongsikan bersama saya, sila hubungi saya Faiz – 0179170722 ( Whatsapp sahaja ) atau 018-5756772 ( Call sahaja ). ALLAHUA’LAM.

Monday, May 29, 2017

3 Ramadhan 1438 H



Assalamualaikum WarahmatULLAHi WabarakatUh.

Semoga tuan-tuan , asatizah dan para pembaca semuanya sihat dan dalam rahmat redha ALLAH Ta'ala, 

AlhamduliLLAH kita telah masuk hari ke 3 bahkan pada saat saya menulis ini, jam 10:31 pm bertarikh 29 Mei 2017 , telah pun masuk Ramadhan ke 4 bagi 1438 Hijriyah. Ramadhan suatu bulan yang amat istimewa bagi hati-hati para pencinta ALLAH dan Rasulullah SAW. Untuk itu, semoga kita digolongkan ALLAH sebagai hambaNya yang merasai keagungan, keistimewaan dan kebesaran bulan Ramadhan ini dan bersungguh-sungguh dapat melaksana amal ibadah kepadaNya dengan qudrat dan iradat pinjaman daripada ALLAH Ta'ala. 

Sedikit sebanyak perkara yang sebenarnya ada terlalu banyak perkara mahu dikongsi namun masa yang amat terbatas. Di atas adalah sebahagian daripada kenangan ziarah ke Fathoni Dar Salam pada beberapa bulan lalu dan insyaALLAH jika tiada aral melintang dan masa yang terluang lagi izinNya, akan dikongsikan kenangan-kenangan , catatan sepanjang di sana. Ziarah ke Fathani baru-baru ini adalah sebagai salah satu daripada rangka kerja bagi kajian sejarah ulama' Fathani. Akan dilanjutkan berkenaan ini dalam posting yang akan datang, insyaAllah.

Sekembalinya daripada Fathani, saya segera menyambung kajian di Masjid Permatang Sg Dua dan menemui batu nisan yang dikatakan sebagai makam Tuan Minal atau nama sebenarnya Syeikh Zainal Abidin bin Wan Muhammad. Namun, tidak dapat disahihkan lagi batu nisan yang dijumpai itu adalah makam Tuan Minal walaupun ada beberapa pendapat yang mengiyakannya bahkan daripada seorang ahli pengkaji sejarah Fathani telah datang ke situ dan mengiyakannya, Namun, bagi saya sendiri setelah meneliti bersama-sama rakan sepengkajian, iaitu Sdr Shukri Hussein dan melalui beberapa temubual waris-waris Tuan Minal samada yang terdekat atau jauh, keputusannya sama iaitu tidak dapat dipastikan. Salah seorangnya ialah Tn Hj Abdul Aziz yang tinggal di kediaman Tuan Minal kayu berwarna merah yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tuan Samad di Permatang Sg Dua, Pulau Pinang. Beliau ialah Hj Abdul Aziz bin Hj Ahmad bin Syeikh Hj Hasan bin Syeikh Zainal Abidin atau Tuan Minal Zainal Abidin. 



Tn Hj Abdul Aziz di kediaman beliau sekitar bulan April 2017. Kunjungan dan temubual kali ke 3 telah berhasil mendapat sepenuhnya salasilah keluarga dan susur galur keturunan beliau. 



Makam yang dikatakan sebagai makam Tuan Minal. Batu nisan yang asalnya setinggi 4 kaki 3 inci ini telah terbenam sehingga yang tinggal apa yang terlihat sekarang. Dengan izin pihak masjid, kami telah menggali semula batu nisan di bahagian kepala ini sambil disaksikan oleh S/u Masjid Tuan Samad, Permatang Sg Dua, Namun begitu, untuk mengatakan dan mengesahkan bahawa makam ini adalah makam Tuan Minal , perlu kepada kajian yang lebih mendalam lagi iaitu kerana terdapat beberapa kekeliruan tentang tulisan di batu nisan ini sendiri dan terdapat riwayat yang saya terima bahawa makam Tuan Minal memang terdapat di Pmtg Sg Dua sebagaimana melalui tulisan al-Marhum Syeikh Wan Shaghir , tetapi kedudukannya berbeza daripada makam yang ini iaitu yang bersebelahan makam Tuan Samad yang merupakan besan Tuan Minal. Menurut riwayat yang saya terima daripada Tn Guru Hj Abu Bakar Belantik, kedudukan sebenar makam Tuan Minal adalah di suatu sudut bahagian lain di tanah perkuburan itu dengan tidak bernisan dan ada cara pengiraan tersendiri bagi menentukan kedudukannya itu. 


Saya masih tidak sempat mencari makam Tn Hj Hasan bin Tuan Minal di tanah perkuburan sebelah masjid itu kerana kekangan masa. Walau bagaimana pun insyaALLAH kajian ini akan diteruskan dan saya amat mengharap maklumat tambahan atau info yang sangat menyumbang kepada kajian tentang makam Tuan Minal ini dan apatah lagi jika ada waris sendiri yang sanggup berhubung dengan kami. Amat dialukan-alukan. No saya seperti di bawah, 

017-9170722 ( Whatsapp )
018-5756772 ( Call )
012-4944068 ( Shukri Hussein )

Walaubagaimana pun, kajian berkenaan makam Tuan Minal ini telah membuka lebih banyak lipatan sejarah ulama' khususnya di Permatang Sg Dua seperti Pondok Syeikh Hj Jalaluddin, Pondok Tuan Hj Samad Abd Malek, Pondok Hj Zakariya, Pondok Hj Salleh dan lain-lain lagi yang saya ringkaskan dengan tidak menyebut satu persatu. InsyaALLAH pada perkongsian akan datang. Semoga ALLAH permudahkan. Terima kasih, ALLAHUA'LAM