Ziarah Makam Solehin N9 1.0

Alhamdulillah beberapa hari lalu, pada 28 Mei 2016 kami berkesempatan mengadakan Ziarah Makam Ulama' & Solehin di sekitar Negeri Sembilan yang saya kira buat julung kalinya ajak bersama kawan-kawan para muhibbin alim ulama'. 

Kami bertolak seawal jam 10:00 pagi dari Bandar Baru Nilai menaiki motorsikal seramai 4 orang iaitu saya, saudara Zulqarnain, saudara Aqil dan saudara Baihaqi. Ziarah tersebut berakhir di makam Tuan Tulis, Kuala Pilah dan kami menuju pulang ke Bandar Baru Nilai pada jam 2:00 pagi. 

Sepanjang hari tersebut, kami menziarahi makam:

  • Tok Botok, Labu
  • Tn Syeikh Hj Muhammad Said al-Linggi & Keluarga
  • Tuanku Tambusai @ Syeikh Muhammad Salleh, Rasah
  • Tn Guru Syeikh Hj Ali bin Musa Siliau
  • Tn Guru Syeikh Hj Jamaluddin bin Syeikh Idris al-Linggi
  • Syeikh Ahmad Majnun @ Tok Keramat Sg Udang
  • Tok Jaya, Rembau
  • Syeikh Said Wali Kaya, Tanah Datar Chengkau
  • Tuan Tulis Ismail, Kg Kuala Talang
 

Makam Tok Botok ini terletak di Jalan Labu-Seremban. Lebih dekat jika ikut jalan daripada Seremban. Makam terletak sebelah kiri jalan menghala ke Labu. Ada signboard dan mudah untuk jumpa, insyaAllah. Tok Botok adalah seorang guru agama dan pengasas kepada petempatan Labu sekarang ini. 


Makam Tuan Syeikh Hj Muhammad Sa'id bin Syeikh Hj Jamaluddin & keluarga di Ampangan. Semuanya alim ulama' lagi bertaraf auliya' Allah.



Tuanku Tambusai atau nama sebenarnya Syeikh Muhammad Salleh. Menurut artikel Syeikh Wan Mohd. Shaghir bin Abdullah, beliau adalah salah seorang murid kepada al-'Alim al-'Allamah Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah al-Fathani, ulama' besar tersohor nusantara Melayu. Makam ini terletak di atas bukit dibelakang bangunan Pusat Pengamalan Tareqat al-Ahmadiah al-Idrisiyah al-Rasyidiah al-Dandarawiyah yang tersergam cantik di Kg Rasah, Seremban. Ada lorong kecil disebelah pagar masuk bangunan tersebut. Ikut situ hingga naik jalan sedikit berbukit tinggi curam. Berhati-hati.



Lebih kurang jam 3:00 petang, sesudah berehat sebentar di Masjid Kg. Linsum dalam daerah Rantau, kami ziarah pula Allahyarham Tn Guru Hj Ali bin Musa Siliau. Makam beliau tidak berbatu nisan ini dan terletak bersebelahan Masjid Kg. Linsum tersebut yang agak kena masuk ke dalam daripada jalan raya besar. Apabila sampai disini, saya begitu teringat ucapan Dato' Syeikh Murtadza bin Syeikh Hj Ahmad dalam sebuah majlis ilmu beliau yang saya hadiri.. kata beliau: "imam masjid Kg. Linsum cara bawaan zikirnya sama macam ayah saya (Tn Syeikh Hj Ahmad). Sebiji.. ". Namun saya tak pasti samada imam masjid yang dimaksudkan tersebut adalah imam masjid yang sekarang ini atau bukan. Allahua'lam.



Makam Tn Syeikh Hj Jamaluddin bin Syeikh Hj Idris. Makam ini terletak di Linggi lebih kurang 10 minit daripada makam Tn Guru Hj Ali Siliau tadi. Jika datang daripada Rantau, ada papan tanda sebelah kiri jalan 'Masjid Warisan Makam Syeikh Jamaluddin' lebih kurang begitu bunyinya saya kurang ingat. Kemudian masuk ke dalam lorong, kita akan jumpa sebuah masjid yang begitu indah seni binanya. Jelas menunjukkan keaslian warisan yang masih lagi dijaga turun-temurun. Disebelah masjid itulah adanya lorong ke makam Syeikh Hj Jamaluddin ini. InsyaAllah sesiapa sahaja yang lalu di hadapan masjid itu, akan perasan lorong ini kerana bertanda. Makam Syeikh Jamaluddin agak ke dalam sedikit. Kemudian apabila kita menelusuri lorong kecil ke makam ini, kita akan nampak begitu banyak makam-makam lama dikanan dan kiri kita. Berdasarkan salah seorang murid lama Tn Guru Syeikh Hj Mohammad Faiz bin Syeikh Hj Ahmad yang saya tanyakan kepadanya di Masjid Astana Raja.., katanya itu semua adalah makam murid-murid Tn Syeikh Hj Jamaluddin bin Syeikh Idris. Semuanya orang soleh. Bukan calang-calang orang semuanya. Begitu juga katanya.. tengok betapa tawadhuknya ulama' bernama Tn Syeikh Hj Jamaluddin. Makamnya tersorok jauh daripada orang. Allahua'lam. 



Tn Guru Syeikh Hj Jamaluddin bin Syeikh Idris. Salah seorang ulama' besar Makkah al-Mukarramah dan tenaga pengajar Masjidil Haram di zamannya. Sangat tenang berada di sini.



Syeikh Ahmad Majnun @ Tok Keramat Sg Udang di Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas. Lebih kurang 10 minit daripada Linggi.



Alhamdulillah ini kali ke-2 saya direzkikan menziarahi Syeikh Said Wali Kaya ini di Masjid Tanah Datar, Chengkau. Bersebelahan makam ini terdapatnya masjid lama yang dahulunya Mufti Tn Syeikh Hj Ahmad dan Tn Syeikh Hj Rasyid pernah mengajar disitu. Kini sudah tak digunakan lagi. Ada masjid baru disebelahnya.



Makam Tuan Tulis Ismail di Kg. Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Maka berakhir jaulah / ziarah makam ulama' kali ini. Moga direzekikan lagi untuk menziarahi alim ulama' auliya' pada masa akan datang. Kami menuju pulang ke Bandar Baru Nilai jam 2:00 pagi. Alhamdulillah.

---------------------------------------------------------------------------------


[ Muqaddimah yang saya sertakan sekali dalam risalah biografi ulama' Negeri Sembilan yang diedarkan kepada kawan-kawan dalam jaulah kali ini ]



MUQADDIMAH
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين. يا عليم علمني من علمك ما ترضى به عني ولا تأخذني بما تعلمه مني يا عليم خلقني بخلق العلم وحققني بحقائق العلم رب اشرح لي صدري ويسرلي أمري وحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي أما بعد

                Segala puji bagi Allah yang tiada sesuatu pun dapat bergerak melainkan dengan izin-Nya. Segala puji bagi Allah yang mengurniakan taufik dan hidayah hanya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan semoga kitalah tergolong yang bertuah itu bersama-sama keluarga kita, guru-guru kita, kawan-kawan kita dan mereka yang kita kasihi sekaliannya, Amiin.  


                Sememangnya sudah menjadi rutin bagi para muhibbin berkorban meluangkan masa dicelah-celah waktu seharian mereka yang sibuk untuk menziarahi makam para auliya’ dan solehin. Telah sepakat alim ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah bahawa menziarahi makam orang-orang soleh adalah amat dituntut dan sangat dipandang baik di sisi syarak. Demikian juga hukumnya bertawassul dengan mereka. Maka ini terlebih dahulu ditegaskan supaya tidak timbul kecelaruan dalam benak fikiran kita apakah begini boleh, apakah begitu boleh dan sebagainya yang akhirnya perkara yang baik dipandang serong pula dan diburuk-burukkan pula walhal tidak dikaji dan tidak mengaji sehabisnya terlebih dahulu. Perbuatan begini hanya menampakkan diri itu kurang bijak dan gopoh dalam memerhati dan membuat kesimpulan.


Suka saya ulang kalam Tn Guru Syeikh Hafidz bin Selamat  al-Jenderami sewaku menziarahi beliau.. lebih kurang begini.. : ADAB kita menziarahi makam para solehin sewajibnya sama seperti kita ziarah mereka sewaktu mereka hidup. Ingatlah mereka tidak mati dan sentiasa mereka itu hidup.

                Manakala salah seorang Tn Guru di Kedah atau di Negeri Sembilan (saya tak ingat) pernah pesan kepada saya, … Tidak semua orang direzekikan oleh Allah dapat menziarahi makam para auliya’. Sebenarnya yang kamu ziarahi makam mereka, bukanlah kamu yang nak menziarahi mereka. Tetapi, merekalah menjemputmu, memanggilmu untuk hadir ditempat mereka. Seolah-olahnya begitu.            Timbul di hati nak menziarahi mereka. Kita menziarahi mereka.. mendoakan buat mereka.. mengadakan pertalian hubungan dengan mereka (mungkin maksudnya disini tautan mahabbah. Kita mencintai sohib makam itu dan semoga dengan itu kita pun dikasihi oleh mereka yang tinggi darjatnya disisi Allah). Ini suatu perkara yang sangat besar kelebihannya.

                Begitu juga Alhamdulillah beberapa kali saya bersama al-Muhaddith Tn Guru Syeikh Wan Izuddin Pendang, murid kepada Syeikhul Hadith Maulana Zakariyya al-Kandhalawi menziarahi makam para ulama’ di negeri Kedah Darul Aman. Bahkan sebenarnya jika kita telusuri satu persatu manaqib ulama’ besar-besar Ahli Sunnah wal Jama’ah, tidak ada seorang pun mengingkari akan ziarah makam para solehin sepertimana yang telah dinyatakan di atas tadi.

                Maka dengan Qudrat dan Iradat daripada Allah,  Alhamdulillah kita adakan jaulah / ziarah makam para solehin di sekitar Negeri Sembilan. Saya namakan sebagai kali pertama ( 1.0 ) supaya harapnya ini menjadi titik tolak untuk kita ajak lagi para muhibbin, kawan-kawan kita untuk turut serta pada ziarah-ziarah yang akan datang pada 2.0, 3.0 dan lain-lain lagi insyaAllah biiznIllah.

                Tujuan kita menziarahi makam tidak lain dan tidak bukan, hanyalah semata-mata kerana Redha ALLAH iaitu pastilah setiap daripada kita mahukan redha-Nya maka kita turut sertalah perbanyakkan mengenali mereka yang mencintai Allah dan Allah pun mencintainya.. mereka merindui Allah dan Allah pun rindu kepadanya.. mereka bermujahadah menuju kepada Allah dan Allah menerima mereka. Mudah-mudahan dengan berkat kita mengenali para kekasih Allah, menziarahi makam mereka, mendoakan mereka, berusaha mencontohi mujahadah mereka dalam menuntut ilmu dan mujahadah mereka menuju kepada Allah.. mudah-mudahan dengan semua ini kita juga turut tergolong bersama mereka yang dikasihi Allah ta’ala. InsyaALLAH Amiin.

Kuatkanlah semangat kita untuk mengenali dan mencintai orang-orang soleh sepertimana bersemangatnya Sayyidina Anas bin Malik r.a tatkala mendengar sabdaan Nabi ,

المرء مع من أحب
Seseorang itu akan bersama (di hari Akhirat) dengan siapa yang ia kasihi.

                Maka, apakah lagi yang terlebih baik pada hari hiruk pikuk huru hara di Mahsyar itu selain kita dipeluangkan bersama para kekasih Allah yang mana bersama-sama mereka itu Sayyidil Anbiya’ wa Sayyidil Auliya’ wa Sayyidis Solehin iaitu Sayyiduna Rasulullah . Kata Syeikhuna Tn Guru Mohammad Rifaee, mencintai wali-wali Allah itu menebalkan lagi kecintaan kita kepada Nabi Muhammad . Dan tentulah sebenarnya orang yang mencintai wali-wali dan ulama’ itu, orang yang sangat mencintai Sayyidina Nabi . Ulama’ pewaris para Nabi.

            Akhir sekali, dengan menziarahi makam solehin sekaligus kita menzahirkan sokongan terhadap alim ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah apatah lagi pada masa-masa sekarang ini alim ulama’ beraliran sufi ditohmah macam-macam. Harapnya dengan adanya program ziarah makam seperti ini menambahkan lagi ilmu, pengalaman, barokah, sokongan dan mahabbah kita terhadap alim ulama’ apatah lagi kita yang masih tenggelam timbul dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah. Kita hayatilah sejarah perjuangan mereka menuntut ilmu, beramal dengan ilmu yang dipelajari dan berusaha meninggikan Islam di muka bumi ini. Saya mohon maaf seribu kekurangan. Allahua’lam.

أستغفر الله من قول بلا عمل

Disediakan Oleh
Muhammad Faiz bin Azmi
Jumaat, 4:20 petang
 Mei 2016 27


1 comment:

  1. As'salammualaikum
    Tidak kelihatan pula gambar maqam Tok Jaya, di Semerbok, Rembau...

    ReplyDelete