Thursday, June 1, 2017

Lanjutan Kajian : Tuan Minal al-Fathoni , Permatang Sg Dua



Assalamualaikum WarahmatULLAHi WabarakatUh.

Sebagaimana yang telah dinyatakan pada posting sebelum ini , Tuan Minal atau nama sebenar beliau al-Alim al-‘Allamah Syeikh Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani telah wafat di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Pulau Pinang. Maklumat ini saya terima melalui pembacaan daripada tulisan Allahyarham Syeikh Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam salah sebuah karyanya. Saya cuba pula merujuk kepada tulisan Tuan Ahmad Fathi, namun belum menjumpainya menulisnya demikian. Syeikh Zainal Abidin atau Tuan Minal sememangnya sangatlah terkenal dalam dunia nusantara Melayu kita sebagai salah seorang pejuang dan ulama’ yang berasal daripada negeri Fathani Dar Salam. Antara kitabnya yang terkenal ialah Aqidatun Najin dan Kasyful Lithsam itu sangat berpengaruh dalam aliran pengajian turath. Buktinya, hampir tidak ada pondok-pondok atau pasentren yang mengajar kitab turath tidak memperkenalkan kitab tersebut kepada para pelajarnya.


Telaga Tuan Minal al-Fathani

Tapak pondok Tuan Minal menurut riwayat setempat terletak disekitar sebelah jalan utama di sebelah kiri jika datang dari Sg Dua, menuju ke Kepala Batas melalui jalan lurus Permatang Sg Dua. Di situ sekarang ini terdirinya sebuah kedai runcit / kedai mee dan berhadapan kedai itulah adanya sebuah telaga lama yang menurut riwayat yang kuat daripada penduduk setempat , ianya telaga Tuan Minal. Di sekitar telaga itu semuanya adalah bekas tapak pondok Tuan Minal pada zaman beliau. Juga menurut En Abdus Samad atau nama lainnya En Abdul Hamid bin Hj Syihabuddin, telaga itu tak pernah kering walau Permatang Sg Dua kering ketiadaan air pada waktu-waktu tertentu. Beliau ialah cucu kepada Tuan Syeikh Abdus Somad bin Abdul Malek Kelumbung , seorang ulama’ berketurunan Fathani yang membuka pondok di Permatang Sg Dua, InsyaALLAH tentang beliau selebihnya akan diperhalusi pada perkongsian yang lain.



 Telaga Tuan Minal al-Fathani





Di samping itu, jika hendak dilanjutkan lagi tentang telaga Tuan Minal, ada juga pendapat seterusnya mengatakan telaga Tuan Minal ada satu lagi dan letaknya di kawasan rumah bersebelahan dengan Masjid Tuan Samad , Permatang Sg Dua. Pada sekitar bulan April 2017, saya berziarah semula ke masjid tersebut dan telaga yang dikatakan telaga Tuan Minal sudah tak dapat dilihat lagi daripada dalam kawasan masjid kerana penambahbaikkan infrastruktur masjid di kawasan itu. Walaubagaimana pun, tidak ada sumber yang kuat untuk mengesahkan kedudukan telaga Tuan Minal yang ke-2 ini iaitu di sebelah pagar masjid, berbanding dengan telaga yang satu lagi yang disebutkan di atas tadi bahawa yang rajihnya itulah telaga Tuan Minal Zainal Abidin al-Fathani, berdiri di atas bekas tapak pondok beliau suatu masa dahulu.

TELAGA TUAN SAMAD

Jika diperhatikan, jumlah kesemua telaga yang terdapat di sekitar Permatang Sungai Dua, termasuklah di Kg Setol sebanyak 7 buah. Pertamanya telaga Tuan Minal di hadapan kedai runcit seberang jalan. Kedua, telaga bersebelahan Masjid Tuan Samad yang terdapat 2 buah telaga di situ. Keempat, telaga Tok Ayah Hj Syihabuddin bin Tuan Samad Abdul Malek di hadapan kediaman beliau dan yang kelima, telaga Hj Salleh di hadapan kediaman beliau yang bercat merah dan mempunyai seni bina ukiran yang seakan sama dengan ukiran corak kediaman Tuan Abdul Aziz, cicit Tuan Minal al-Fathani. Rumah yang terletak dalam kawasan Kg. Setol itu kini didiami oleh cucu saudara Hj Salleh, iaitu En Azmi, berumur sekitar 50-an (tahun 2017). Seterusnya, telaga Tuan Samad yang terdapat dalam kawasan masjid. Yang terakhir, sebuah lagi telaga yang tidak diketahui siapa pemiliknya.

KEDIAMAN TN HJ ABDUL AZIZ BIN HJ AHMAD

KEDIAMAN ASAL HJ SALLEH

TELAGA HJ SALLEH YANG SUDAH TAK DIGUNAKAN LAGI


Tanah Perkuburan Islam Masjid Tuan Samad

Selain makam Tuan Minal yang tidak dapat disah tentukan kedudukan sebenarnya di tanah perkuburan yang luas tersebut, terdapat juga beberapa makam lain yang signifikan iaitu salah satunya adalah makam Tuan Abdus Somad Abdul Malek dan makam salah seorang qadhi Pulau Pinang. Saya kurang jelas berkenaan makam qadhi tersebut akan namanya dan belum lagi mula mencari makam beliau. Hanya menerima maklumat daripada Ustaz Mat Zain, salah seorang penduduk lama Kg Permatang Sg Dua pada petang selepas solat Zohor di masjid tersebut. Kediaman beliau terletak bersebelahan dengan rumah Hj Abdul Aziz bin Hj Ahmad berhadapan dengan jalan utama Permatang Sg Dua. Daripada beliaulah banyak maklumat diperoleh berkenaan sejarah lama Masjid Tuan Samad dan tanah perkuburan tersebut dan gambar lama masjid sekitar tahun 80-an yang berikut diperoleh daripada beliau, yang kini digantung dalam ruangan solat masjid.  

MAKAM TUAN SAMAD AL-FATHANI


Penutup

Beberapa perkara penting berkait dengan asal usul Tuan Minal insyaAllah akan diketengahkan pada perkongsian yang lain. Persoalan utama antaranya perkaitan di antara Tuan Minal dengan Tuan Samad dan asal usul Tuan Samad itu sendiri serta salasilahnya dan anak cucunya yang bertebaran dalam tanah air kita menjadi tokoh agamawan yang berjaya dan berjasa. Saya tidak berhajat untuk memanjangkan atau memulakan sedikit coretan tentang Syeikh Zainal Abidin atau Tuan Minal al-Fathani dengan memperkenalkan tokoh ini dengan biografinya atau keperibadiannya, tetapi perkongsian ini hanyalah untuk menambah sedikit sebanyak maklumat yang sudah sedia ada dalam buku-buku atau penulisan sejarah berdasarkan kepada kajian saya yang tidak seberapa ini. Adapun biografi Tuan Minal, para pembaca yang dikasihi sekalian bolehlah merujuk kepada penulisan lain yang amat baik seperti karya Allahyarham Syeikh Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah.


Sekian sahaja dahulu, saya amatlah berharap sekiranya ada maklumat penting dapat dikongsikan bersama saya, sila hubungi saya Faiz – 0179170722 ( Whatsapp sahaja ) atau 018-5756772 ( Call sahaja ). ALLAHUA’LAM.

No comments:

Post a Comment