Monday, May 29, 2017

3 Ramadhan 1438 H



Assalamualaikum WarahmatULLAHi WabarakatUh.

Semoga tuan-tuan , asatizah dan para pembaca semuanya sihat dan dalam rahmat redha ALLAH Ta'ala, 

AlhamduliLLAH kita telah masuk hari ke 3 bahkan pada saat saya menulis ini, jam 10:31 pm bertarikh 29 Mei 2017 , telah pun masuk Ramadhan ke 4 bagi 1438 Hijriyah. Ramadhan suatu bulan yang amat istimewa bagi hati-hati para pencinta ALLAH dan Rasulullah SAW. Untuk itu, semoga kita digolongkan ALLAH sebagai hambaNya yang merasai keagungan, keistimewaan dan kebesaran bulan Ramadhan ini dan bersungguh-sungguh dapat melaksana amal ibadah kepadaNya dengan qudrat dan iradat pinjaman daripada ALLAH Ta'ala. 

Sedikit sebanyak perkara yang sebenarnya ada terlalu banyak perkara mahu dikongsi namun masa yang amat terbatas. Di atas adalah sebahagian daripada kenangan ziarah ke Fathoni Dar Salam pada beberapa bulan lalu dan insyaALLAH jika tiada aral melintang dan masa yang terluang lagi izinNya, akan dikongsikan kenangan-kenangan , catatan sepanjang di sana. Ziarah ke Fathani baru-baru ini adalah sebagai salah satu daripada rangka kerja bagi kajian sejarah ulama' Fathani. Akan dilanjutkan berkenaan ini dalam posting yang akan datang, insyaAllah.

Sekembalinya daripada Fathani, saya segera menyambung kajian di Masjid Permatang Sg Dua dan menemui batu nisan yang dikatakan sebagai makam Tuan Minal atau nama sebenarnya Syeikh Zainal Abidin bin Wan Muhammad. Namun, tidak dapat disahihkan lagi batu nisan yang dijumpai itu adalah makam Tuan Minal walaupun ada beberapa pendapat yang mengiyakannya bahkan daripada seorang ahli pengkaji sejarah Fathani telah datang ke situ dan mengiyakannya, Namun, bagi saya sendiri setelah meneliti bersama-sama rakan sepengkajian, iaitu Sdr Shukri Hussein dan melalui beberapa temubual waris-waris Tuan Minal samada yang terdekat atau jauh, keputusannya sama iaitu tidak dapat dipastikan. Salah seorangnya ialah Tn Hj Abdul Aziz yang tinggal di kediaman Tuan Minal kayu berwarna merah yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tuan Samad di Permatang Sg Dua, Pulau Pinang. Beliau ialah Hj Abdul Aziz bin Hj Ahmad bin Syeikh Hj Hasan bin Syeikh Zainal Abidin atau Tuan Minal Zainal Abidin. 



Tn Hj Abdul Aziz di kediaman beliau sekitar bulan April 2017. Kunjungan dan temubual kali ke 3 telah berhasil mendapat sepenuhnya salasilah keluarga dan susur galur keturunan beliau. 



Makam yang dikatakan sebagai makam Tuan Minal. Batu nisan yang asalnya setinggi 4 kaki 3 inci ini telah terbenam sehingga yang tinggal apa yang terlihat sekarang. Dengan izin pihak masjid, kami telah menggali semula batu nisan di bahagian kepala ini sambil disaksikan oleh S/u Masjid Tuan Samad, Permatang Sg Dua, Namun begitu, untuk mengatakan dan mengesahkan bahawa makam ini adalah makam Tuan Minal , perlu kepada kajian yang lebih mendalam lagi iaitu kerana terdapat beberapa kekeliruan tentang tulisan di batu nisan ini sendiri dan terdapat riwayat yang saya terima bahawa makam Tuan Minal memang terdapat di Pmtg Sg Dua sebagaimana melalui tulisan al-Marhum Syeikh Wan Shaghir , tetapi kedudukannya berbeza daripada makam yang ini iaitu yang bersebelahan makam Tuan Samad yang merupakan besan Tuan Minal. Menurut riwayat yang saya terima daripada Tn Guru Hj Abu Bakar Belantik, kedudukan sebenar makam Tuan Minal adalah di suatu sudut bahagian lain di tanah perkuburan itu dengan tidak bernisan dan ada cara pengiraan tersendiri bagi menentukan kedudukannya itu. 


Saya masih tidak sempat mencari makam Tn Hj Hasan bin Tuan Minal di tanah perkuburan sebelah masjid itu kerana kekangan masa. Walau bagaimana pun insyaALLAH kajian ini akan diteruskan dan saya amat mengharap maklumat tambahan atau info yang sangat menyumbang kepada kajian tentang makam Tuan Minal ini dan apatah lagi jika ada waris sendiri yang sanggup berhubung dengan kami. Amat dialukan-alukan. No saya seperti di bawah, 

017-9170722 ( Whatsapp )
018-5756772 ( Call )
012-4944068 ( Shukri Hussein )

Walaubagaimana pun, kajian berkenaan makam Tuan Minal ini telah membuka lebih banyak lipatan sejarah ulama' khususnya di Permatang Sg Dua seperti Pondok Syeikh Hj Jalaluddin, Pondok Tuan Hj Samad Abd Malek, Pondok Hj Zakariya, Pondok Hj Salleh dan lain-lain lagi yang saya ringkaskan dengan tidak menyebut satu persatu. InsyaALLAH pada perkongsian akan datang. Semoga ALLAH permudahkan. Terima kasih, ALLAHUA'LAM

No comments:

Post a Comment